Image hosted by Photobucket.com


Image hosted by Photobucket.com


"Pesan Rasulullah lagi bermaksud: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya."- Diriwayatkan oleh Baihaqi

Image hosted by Photobucket.com








Tuesday, December 27, 2005
BAGAIMANA MENCARI KETENANGAN JIWA

Dari apa yang telah dibicarakan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur asalkan tidak menjejaskan kewajipan dan jauh dari segala perkara maksiat dan mungkar. Hiburan yang dilarang oleh agama Islam itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan atau merugikan, apa lagi hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam. Nyanyian, karaoke, tari menari, lebih-lebih lagi tari menari yang yang bercampur lelaki dan perempuan, konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama “amal” tidak akan menghalang hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan dengan syarak atau konsert nyanyian yang ada sekarang lebih banyak menjurus kepada tidak diredhai oleh Allah. Tujuan amal adalah kata-kata berselindung, seperti berselindung racun di sebalik makanan yang enak, akhirnya akan membunuh orang yang memakannya. Hal sedemikian telah digambarkan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya: 

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya?) 

Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya”.

(Surah Faatir: 8)

Apabila di dalamnya bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat maka sesuatu yang haram itu tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi dengan tujuan yang baik atau kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh juga menjelaskan yang maksudnya: 

“Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa di telan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu, Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah terjadi peristiwa itu?” Baginda bersabda menjawab: “Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai jenis minuman arak”.

(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Ibnu Hajar dalam kitabnya Al-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang yang duduk bersama-sama orang minum arak, orang fasik dan duduk dengan ahli hiburan yang haram (seperti majlis tari menari walaupun dengan isteri sendiri), sedangkan dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau berkuasa meninggalkan majlis itu adalah suatu dosa besar.

Menurut Imam Al-Qurtubi pula, sentiasa mendengar nyanyian juga boleh menyebabkan sifat bodoh dan tertolak persaksiannya (syahadah), dan yang lebih ditakuti lagi ialah menyebabkan nifaq, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifaq (munafiq) dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayuran”.

(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Dari itu ingatlah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah sementara dan sebagai jalan untuk menuju kebahagiaan di akhirat. Kita perlu sentiasa waspada dan ingat bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyediakan azab bagi orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia semata-mata tanpa menghiraukan larangan-larangan Allah dan RasulNya bahkan lalai dan leka oleh perkara-perkara mungkar dan maksiat. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya:

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermmegah di antara kamu (dengankelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan hartabenda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur berkecai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.

(Surah Al-Hadid: 20)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga mengkhabarkan, apabila umat Islam tidak berpandukan syarak dalam menjalankan segala urusan dunia dan akhiratnya, kadang-kadang timbul sangkaan baik mereka terhadap sesuatu amalnya, pada hal adalah sebaliknya. Jika ada suatu amalan itu mengandungi perkara-perkara yang tidak selaras dengan syarak, maka rosak binasalah segala amal usahanya yang mereka sangka baik itu, dan tidak akan mendapat sebarang harga pada hari kiamat kelak, bahkan mereka akan menerima kehinaan dan azab seksa yang seburuk-buruknya. Hal ini telah diceritakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat nanti. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka pula kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejekan”.

(Surah Al-Kahfi: 103-105)

 


Posted at 02:48 pm by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

HIburan Yang Dianjurkan Islam (2)

HIBURAN  YANG DIANJURKAN ISLAM

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

(Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.

(Surah Yunus: 6)

 

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.

(Hadis riwayat Muslim )

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.

(Surah Al-Zumar: 23)

 

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.

(Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”.

(Surah Al-Hajj: 35)

 

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.

(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

 


Posted at 02:02 pm by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

BAGAIMANA MENCARI KETENANGAN JIWA

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancung, makan angin, bersukan, merekaseni melukis dan sebagainya.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur‘an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.

Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya ia jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, musik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan”.

(Surah Al-An‘am: 32)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”.

(Surah Al-Ruum: 21)

Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”

(Surah Al-Zariat: 56)

Sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Qur‘an ada megingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.

(Surah Luqman: 6)

Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.

(Surah Al-A‘raf: 51)

Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :

”Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

(Surah Al-An‘am: 29)

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata.

Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas dari itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari itu hanya hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.


Posted at 01:58 pm by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

Thursday, November 17, 2005
TAKBIR SEMBAHYANG : HURAIAN DAN KESEMPURNAAN

 

Takbirulintiqalat

Takbirulintiqalat ialah mengucapkan "Allahu Akbar" pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal. Takbirulintiqalat itu hukumnya sunat dan tergolong dalam sunat haia’t sembahyang.

Sunat dilafazkan takbir itu sebaya dengan permulaan hendak melakukan atau bangkit daripada perbuatan rukun sembahyang dan sunat memanjangkan takbir itu sehingga sampai kepada perbuatan rukun sembahyang yang dituju. Akan tetapi kadar memanjangkannya tidak melebihi tujuh alif pada huruf "lam" dalam lafzul Jalalah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dalam perkara sunat melafazkan takbir sebaya dengan permulaan hendak melakukan perbuatan rukun sembahyang itu, takbir ketika hendak ruku‘ dikecualikan daripada hukum sunat tersebut, ini kerana ketika dia melafazkan takbir tersebut sedangkan dia dalam berdiri dan mengangkat kedua tapak tangannya sejajar dengan bahu. (Fath Al-‘Allam, Haia’t Ash-Shalah, Takbir Al-Intiqalat: 2/387-389)

Sebagaimana disunatkan mengangkat kedua tapak tangan sejajar dengan bahu pada takbiratulihram, adalah disunatkan juga pada takbirulintiqalat. Adapun hukum sunat mengangkat kedua tapak tangan itu, hanyalah:

Ketika melakukan takbiratulihram.

Ketika hendak menuju kepada perbuatan ruku‘.

Ketika bangkit daripada ruku‘ sambil melafazkan

Ketika bangkit daripada melakukan tasyahhud awwal.

Selain daripada perkara yang disebutkan di atas adalah tidak disunatkan mengangkat kedua tapak tangan ketika melafazkan takbir.

Ketika bangkit daripada tasyahhud awwal, menurut pendapat yang Zhahir, adalah sunat bermulanya mengangkat tapak tangan itu ketika sampai pada had sekurang-kurang ruku‘.(I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/219)

Sunat bagi imam meninggikan suaranya ketika melafazkan takbiratulihram dan takbirulintiqalat. Demikian juga sunat meninggikan suara bagi makmum yang menyampaikan takbir imam kepada makmum yang lain yang tidak dapat mendengar suara imam, akan tetapi hendaklah ketika dia melafazkan takbir itu berniat sebagai zikir atau pemberitahuan (i‘lam), jika tidak maka batallah sembahyangnya. (Fath Al-‘Allam, Haia’t Ash-Shalah, Takbir Al-Intiqalat: 2/389)

Takbir Dalam Sembahyang Hari Raya

Sunat melafazkan takbir ketika sembahyang Hari Raya ‘aidulfitri atau ‘aiduladha, selain takbiratulihram sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua sebaik sahaja selesai membaca doa iftitah. Sunat melafazkan takbir tersebut walaupun dalam sembahyang qadha Hari Raya.

Takbir-takbir ini tergolong dalam haia’t as-shalah dan tidak disunatkan sujud sahwi jika ditinggalkan takbir tersebut dengan senghaja atau terlupa. Akan tetapi jika ditinggalkan kesemua atau sebahagiannya, adalah makruh hukumnya.

Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbir tersebut. Kedudukan dan kaifiyatnya (caranya) serupa dengan apa yang disunatkan dalam takbiratulihram. Sunat dibaca antara setiap dua takbir (seperti selepas melafazkan takbir pertama):

Ertinya: "Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tiada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar."

Adapun bagi orang yang masbuq, tidak perlu lagi baginya mengangkat takbir tersebut melainkan jika dia mendapati imam dalam keadaan mengangkat takbir. Sebagai contoh, jika orang yang masbuq itu mendapati imam dalam rakaat pertama setelah selesai mengangkat takbir yang kedua, maka orang yang masbuq itu hanya mengangkat takbir yang seterusnya iaitu takbir yang ketiga sehingga yang ketujuh dengan mengikuti imam. Demikian juga, jika syak pada bilangan takbir itu, maka ambillah yang sedikit atau ikut sahaja imam walaupun ianya kurang atau lebih. (Fath Al-‘Allam, Shalat Al-‘Aidain, Takbirat Ash-Shalah: 2/10-11)

Takbir Dalam Sembahyang Jenazah

Takbir dalam sembahyang jenazah adalah sebanyak empat kali termasuk takbiratulihram. Kesemua takbir tersebut adalah rukun sembahyang jenazah. Sebagaimana dalam hadis As-Sya‘biy katanya:

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang jenazah di atas kubur selepas sahaja dikebumikan, Baginda bertakbir sebanyak empat kali."

(Hadis riwayat Muslim)

Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbir tersebut, kedudukan dan kaifiyatnya serupa dengan apa yang disunatkan dalam takbiratulihram.

Apabila makmum yang masbuq mendapati imamnya telahpun melakukan sebahagian daripada sembahyang jenazah, lalu dia bertakbir dan masuklah dia dalam sembahyang jemaah itu. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Apa yang kamu dapati maka sembahyanglah dan apa yang kamu luputi maka sempurnakanlah."

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sebagai contoh, makmum masbuq sedangkan imam sudah selesai mengangkat takbir yang kedua dan sedang membaca shalawat. Maka makmum tersebut terus sahaja mengangkat takbiratulihram dan membaca surah Al-Fatihah, tidak perlu dia mengikuti apa yang imam baca (shalawat). Apabila imam mengangkat takbir yang ketiga, makmum yang masbuq itu terus sahaja mengikuti imam mengangkat takbir yang kedua bagi dirinya dan membaca shalawat. Demikianlah seterusnya, makmum tersebut membaca mengikut tertib pada setiap rakaat tanpa mengikuti apa yang imam baca. Apabila imam memberi salam, makmum tersebut terus sahaja menyempurnakan takbir yang seterusnya.

Adapun jika makmum itu sedang membaca sebahagian surah Al-Fatihah lalu imam mengangkat takbir yang kedua, maka menurut pendapat yang ashah hentikan sahaja bacaan Al-Fatihah itu dan terus mengikuti imam mengangkat takbir, nescaya dia telah memperolehi kedua takbir itu disebabkan ‘uzur. (Al-Majmu‘, Kitab Al-Jana’iz, Bab Ash-Shalah ‘Ala Al-Mait: 5/197-198)

Penutup

Oleh itu, haruslah diketahui bahawa takbiratulihram dan takbirulintiqalat mempunyai peranan tersendiri. Takbiratulihram adalah salah satu rukun sembahyang sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sunat dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan takbir tersebut. Selain itu, takbir dalam sembahyang jenazah juga termasuk dalam rukun sembahyang.

Sementara takbirulintiqalat pula dan takbir dalam sembahyang Hari Raya (tujuh kali takbir pada rakaat pertama dan lima kali takbir pada rakaat kedua) adalah salah satu daripada sunat hai’at sembahyang. Sungguhpun ia hanya sunat hai’at, namun demikian hendaklah takbirulintiqalat dan takbir dalam sembahyang Hari Raya itu dilaksanakan dengan sesempurnanya, termasuk juga mengamalkan perkara-perkara sunat yang terdapat ketika bertakbir seperti kaifiyat mengangkat kedua tapak tangan, waktu disunatkan mengangkat tangan dan sebagainya agar amal ibadat yang kita kerjakan itu sempurna dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

 


Posted at 05:59 pm by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

Do'a yang Selalu Dikabulkan


Pagi itu, 3 Mei 1998, dari Jakarta, saya diundang untuk memberi pengisian di sebuah seminar di IAIN Sunan Gunung Djati, Bandung. Saya duduk di kerusi kedua dari depan sambil menunggu kedatangan ahli panel yang lain, Mimin Aminah, yang belum pernah saya kenali sebelum ini.

Jam sembilan tepat, pihak urusetia menghampiri saya dan memperkenalkan beliau yang baru saja tiba. Saya segera berdiri menyambut senyumnya yang lebih dulu tersimpul. Ia seorang yang bertubuh besar, ramah, dalam balutan jubah biru dan tudung putih yang cukup labuh. Kami berjabat tangan erat, dan saat itu jelas dalam pandangan saya dua crutch (tongkat penyangga yang dikenakan-nya) serta sepasang kaki lemah dan kecil yang ditutupi sarung kaki putih. Sesaat jiwa saya terkedu, lalu melafazkan kalimat takbir dan tasbih.

Saat seminar dimulai, saya mendapat giliran pertama. Saya bahagia kerana para peserta nampak bersemangat. Begitu juga ketika giliran Mimin tiba. Semua memmerhatikan dengan sungguh apa yang disampaikannya. Kata-kata yang dikemukakannya indah dengan retorik yang menarik. Wawasannya luas, pengamatannya tepat.

Saya tengah memandang wajah dengan pipi merah jambu itu saat Mimin berkata dengan nada datar. "Saya diuji Allah dengan cacat kaki ini seumur hidup saya."

Ia tersenyum. "Saya lahir dalam keadaan seperti ini. Mungkin banyak orang akan pesimis menghadapi keadaan yang demikian, tetapi sejak kecil saya telah memohon sesuatu pada Allah. Saya berdoa agar saat orang lain melihat saya, tak ada yang diingat dan disebutnya kecuali Allah," Ia terdiam sesaat dan kembali tersenyum. "Ya, agar mereka ingat Allah saat menatap saya. Itu saja."

Dulu tak ada orang yang menyangka bahwa ia akan mampu meneruskan penagjian. "Saya belajar di Fakulti Psikologi," katanya seraya menambahkan bahawa rakan-rakan lelaki dan wanita di Universiti Islam Bandung-tempat kuliahnya itu-sentiasa bergantian membantunya menaiki tangga bila kuliah diadakan di tingkat dua atau tiga. Bahkan mereka hafal masa ketibaan serta masa kuliah yang diikutinya. "Di antara mereka ada yang membawakan sebelah tongkat saya, ada yang memapah, ada juga yang menunggu di atas," kenangnya.

Menurut Mimin ia sering mendengar orang menyebut-nyebut nama Allah saat menatapnya. "Mereka berkata: Ya Allah, mampu juga ya dia belajar," senyumnya mengembang lagi. "Saya bahagia kerana mereka menyebut nama Allah. Bahkan ketika saya berjaya menamatkan kuliah, keluarga, kerabat atau teman kembali memuji Allah. Alhamdulillah, Allah memang Maha Besar. Begitu kata mereka."

Muslimah bersahaja kelahiran tahun 1966 ini juga berkata bahawa ia tak pernah ber-mimpi akan ada lelaki yang mau mengahwininyanya. "Kita tahu, terkadang orang normal pun susah mendapatkan jodoh, apalagi seorang yang cacat seperti saya. Ya tawakal saja."

Makanya semua terkejut, ketika tahun 1993 ada seorang lelaki yang soleh dan normal melamarnya. "Dan lagi-lagi saat walimah, saya dengar banyak orang menyebut-nyebut nama Allah dengan takjub. Allah itu maha kuasa, ya. Maha adil! Masya Allah, Alhamdulillah, dan sebagainya," ujarnya penuh syukur. Saya memandang Mimin sedalamnya. Menyelami batinnya dengan mata berair.

"Lalu saat saya hamil, hampir semua yang bertemu saya, bahkan orang yang tak men-genal saya, menatap takjub seraya lagi-lagi mengagungkan asma Allah. Ketika saya hamil besar, banyak orang menyarankan agar saya tidak ke bidan, melainkan ke doktor untuk pembedahan. Bagaimana pun saat seorang ibu melahirkan otot-otot punggung dan kaki sangat berperanan. Namun saya pasrah. Saya merasa tak ada masalah dan yakin bila Allah berkehendak semua akan menjadi mudah. Dan Alhamdulillah, saya melahirkan lancar dibantu bidan," pipi Mimin memerah kembali. "Semua orang melihat saya dan mereka mengingat Allah. Allahu Akbar, Allah memang Maha Adil, kata mereka berulang-ulang."

Hening. Ia terdiam agak lama.

Mata saya basah, menyelami batin Mimin. Tiba-tiba saya merasa syukur saya teramat dangkal dibandingkan nikmatNya selama ini. Rasa malu menyergap seluruh kewujudan saya. Saya belum apa-apa. Yang selama ini telah saya lakukan bukanlah apa-apa.

Astaghfirullah. Tiba-tiba saya ingin segera turun dari tempat saya duduk sebagai ahli panel sekarang, dan pertama kalinya selama hidup saya, saya menahan airmata di atas podium. Apakah orang ingat pada Allah saat memandang saya, seperti saat mereka memandang Mimin?

Saat seminar selesai dan Mimin dibantu turun dari pentas, pandangan saya masih kabur. Juga saat seorang (dari dua) anaknya menerkam ke pelukannya. Wajah teduh Mimin tersenyum bahagia, sementara telapak tangan kanannya berusaha membelai kepala si anak. Tiba-tiba saya seperti melihat anak saya, yang selalu boleh saya gendong bila-bila saja saya suka. Ya, Allah betapa banyak kenikmatan yang Kau berikan padaku.

Ketika Mimin ingin pulang seraya merangkul saya dengan erat dan berkata betapa dia men-cintai saya kerana Allah, seperti ada suara menggema di seluruh rongga jiwa saya. "Subhanallah, Maha besar Engkau ya Robbi, yang telah memberi pelajaran pada saya dari pertemuan dengan hambaMu ini. Kekalkanlah persaudaraan kami di Sabilillah. Selamanya. Amin."

Mimin benar. Memandangnya, saya pun ingat padaNya. Dan cinta saya pada Sang Pencipta, yang menjadikan saya sebagaimana adanya, semakin mengkristal.


Posted at 06:25 am by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

Friday, November 11, 2005
TAKBIR SEMBAHYANG : HURAIAN DAN KESEMPURNAAN

Sebaik-baik pertuturan (kalam) kepada Allah, salah satunya ialah takbir. Takbir menunjukkan kepada mengagungkan Allah Subahanahu wa Ta‘ala dengan ucapan "Allahu Akbar" yang bererti Allah Maha Besar.

Ucapan takbir ini mendapat tempat dalam sembahyang yang menjadikannya sebagai rukun qauli. Maka Irsyad Hukum kali ini menghuraikan persoalan hukum dan kesempurnaan takbir dalam sembahyang, termasuk takbirulintiqalat.

Takbiratulihram

Takbiratulihram adalah salah satu daripada rukun sembahyang. Sebagaimana dalam hadis Abu Hurairah:

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke masjid, dan masuklah seorang lelaki lalu bersembahyang. Sesudah itu dia memberi salam kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda pun membalas salam itu lalu bersabda: "Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang."

Lalu lelaki itu pun kembali mengerjakan sembahyang sebagaimana dia sembahyang sebelumnya. Kemudian lelaki itu datang dan memberi salam lagi kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: "Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang." Demikianlah berulang sehingga tiga kali.

Maka lelaki itu berkata: "Demi zat yang mengutus engkau dengan kebenaran, saya tidak dapat melakukan sembahyang yang lebih baik, maka ajarkanlah aku."

Baginda bersabda: "Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, maka bertakbirlah kemudian bacalah yang mudah bagimu daripada Al-Qur’an, kemudian ruku‘lah sehingga kamu bertuma’ninah dalam ruku‘, kemudian bangkitlah sehingga tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu bertuma’ninah dalam sujud, kemudian bangkitlah sehingga kamu bertuma’ninah dalam duduk. Lakukanlah yang demikian itu dalam sembahyangmu keseluruhannya."

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan:

Maksudnya: "Daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Kunci sembahyang itu adalah wudhu, dan permulaan sembahyang itu (bermulanya hukum haram melakukan sesuatu yang dihalalkan sebelumnya seperti makan dan minum) adalah takbir dan penyudah sembahyang itu (berakhirnya hukum haram tersebut) adalah taslim iaitu memberi salam."

(Hadis riwayat Ahmad)

Takbiratulihram ialah mengucapkan "Allahu Akbar" pada permulaan sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang. Dinamakan ia sebagai takbiratulihram, kerana orang yang bersembahyang itu mengharamkan ke atas dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti makan, minum, berkata-kata atau seumpamanya. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/212)

Ucapan takbir dalam sembahyang itu telah pun ditetapkan lafaznya iaitu "Allahu Akbar" sebagaimana mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:

Maksudnya: "Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang."

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Ataupun dilafazkan dengan kalimah "Allahul Akbar" (ditambah huruf "alif" dan "lam" pada kalimah Akbar  

Tidak sah melafazkan takbir itu seperti contoh-contoh berikut:

i. Mendahulukan kalimah "Akbar" daripada lafzul Jalalah "Allah " ataupun

ii. Menukar kalimah "Akbar" kepada kalimah "Kabir" kerana ia menghilangkan makna mengagungkan.

Tidak sah melafazkan takbir dengan menambah huruf pada ucapan takbir itu yang boleh menukar maknanya seperti berikut:

· Memanjangkan huruf hamzah pada lafzul Jalalah atau pada kalimah "Akbar" . Ini kerana menukar maknanya kepada pertanyaan (istifham).

· Memanjangkan huruf "ba" pada kalimah akbar maka menjadilah ia sebagai jama‘ kepada kabar yang bererti gendang yang satu muka.

· Menambah huruf "wau" sebelum lafzul Jalalah

· Menurut Ibnu Hajar, menambah huruf "wau" sakinah (bertanda mati) di antara dua kalimah takbir, seperti   kerana ia menjadikan jama‘ pada kalimah lah (áÇå) yang bererti berkilauan, atau menambah huruf "wau" mutaharrikah (yang berbaris) seperti

· Menambah mad huruf "alif" di antara huruf "lam" dan "ha" dalam lafzul Jalalah sehingga melebihi had yang tidak dianjurkan oleh ahli qurra’. Menurut Ibnu Hajar, kadar had panjang mad huruf "alif" di atas itu adalah sebanyak tujuh alif dan setiap satu alif pula mempunyai dua harkat.

Dalam melafazkan takbir itu, tidak mengapa jika berhenti sekejap di antara dua kalimah takbir dengan kadar mengambil nafas. Manakala menurut Al-Azdra‘ie, tidak mengapa jika melebihi kadar berhenti itu daripada kadar mengambil nafas seperti orang yang gagap. Demikian juga, tidak mengapa jika disebut dalam takbir itu dengan membunyikan huruf "ra" yang berbaris depan . (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/215-216)

Walau bagaimanapun sunat huruf "ra" dalam kalimah "Akbar" itu dibunyikan dengan tanda mati. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘ Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)

Wajib bagi orang yang mengerjakan sembahyang itu mendengar setiap huruf takbir yang dilafazkannya ketika mengangkat tabiratulihram tersebut. Sebagaimana dengan rukun qauli yang lainnya seperti membaca surah Al-Fatihah, tasyahhud dan salam. Hukum wajib mendengar itu adalah bagi orang yang baik pendengarannya. Sementara orang yang tidak baik pendengarannya seperti tuli atau disebabkan ada halangan untuk mendengar seperti riuh rendah tempat itu, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi wajib dia melafazkan takbir itu dengan suara yang tinggi atau nyaring dengan kadar apa yang dapat didengarnya jika dalam keadaan dia boleh mendengar. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/217-218)

Syarat-syarat yang lain pula, hendaklah lafaz takbir itu dalam bahasa Arab bagi orang yang boleh/pandai melafazkannya. Akan tetapi bagi orang yang tidak pandai melafazkannya dalam bahasa Arab, maka wajib dia mempelajarinya walaupun mengakhirkan sembahyang daripada awal waktunya. Jika dia tidak pandai juga setelah mempelajarinya sehingga hampir luput waktu sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dalam hal yang demikian itu dengan menterjemahkan takbir tersebut dalam bahasa yang dia pandai dan tidak perlu lagi diulangi semula sembahyangnya itu jika dia sudah pandai melafazkan takbir. Adapun jika dia sambil lewa mempelajari takbir dalam bahasa Arab tersebut lalu dia mengerjakan sembahyang, maka hendaklah dia mengulangi semula sembahyang itu setelah pandai. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/215)

Disyaratkan juga kepada orang yang mengikut imam, mengakhirkan takbirnya sehingga imam sempurna melafazkan takbir. Jika takbir makmum tersebut mengiringi sebahagian takbir imam, maka tidak sah ikutan itu dan tidak dikira sembahyang makmum itu sebagaimana menurut As-Syarqawi. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Syuruth Shihhah At-Takbirah Al-Ula: 2/229)

Sunat mengangkat kedua-dua tapak tangan ketika melakukan takbiratulihram dengan mendedahkan tapak tangan tersebut serta menjarangkan sedikit jejarinya. Kedudukan kedua-dua tapak tangan itu sejajar dengan kedua bahunya serta jejarinya berada sejajar dengan atas telinga melainkan ibu jari sahaja berada sejajar dengan cuping telinga. Sunat ketika mengangkat tapak tangan itu sebaya dengan melafazkan takbir. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Ash-Shalah, Fasal Fi Shifat Ash-Shalah: 1/218-219) Demikian juga disunatkan menundukkan kepala sedikit dan melihat ke tempat sujud sebelum mengangkat takbir. (Fath Al-‘Allam, Fasal Fi Arkan Ash-Shalah, Furu‘ Tata‘allaq Bi At-Takbir: 2/234)


Posted at 01:57 am by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

Tuesday, November 08, 2005
DUDUK ANTARA DUA SUJUD : LAMBANG KETENANGAN SEORANG HAMBA

Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi‘li (perbuatan) yang pendek. Menurut jumhur ulama duduk antara dua sujud adalah wajib dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan sengaja. (Al-Majmuk: 3/367)

Menurut ashhab mazhab Syafi‘e dan jumhur ulama wajib thuma’ninah ketika ruku‘, sujud, i‘tidal (bangkit daripada ruku‘) dan duduk antara dua sujud, berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud :

"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila engkau berdiri untuk menunaikan sembahyang hendaklah bertakbir, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat Al-Quran. Kemudian ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (i‘tidal), kemudian sujud dengan tuma’ninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan thuma’ninah, dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap sembahyangmu".

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Maka ruangan irsyad hukum pada keluarannya kali ini akan menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud.

Imam An-Nawawi (Al-Majmuk:3/397-403) menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud itu ada tiga cara:

Punggung didudukkan di atas tapak kaki kiri, sementara itu didirikan tapak kaki kanan dengan melipatkan anak-anak jari kaki kanan menghala ke kiblat. Inilah kaifiyat duduk antara dua sujud yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Humaid As-Sa‘idiy yang bermaksud :

 "Telah berkata Abu Humaid As-Sa‘idiy: "Aku adalah orang yang paling hafal (mengetahui) akan shalatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku melihat ketika Baginda bertakbir, Baginda mengangkatkan tangan Baginda sejajar dengan dua bahunya. Apabila ruku‘, Baginda letakkan kedua tangannya pada kedua lutut. Kemudian Baginda membungkukkan punggung. Apabila Baginda mengangkat kepala (dari ruku‘) Baginda tegak sehingga setiap tulang belakangnya kembali ke tempatnya. Apabila sujud Baginda letakkan kedua tangan Baginda dengan tidak mencengkam dan tidak pula menggenggam, dan Baginda hadapkan hujung jari-jari Baginda ke arah kiblat. Apabila Baginda duduk pada raka‘at ke dua, Baginda duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Apabila Baginda duduk pada raka‘at akhir maka Baginda julurkan kaki kiri dan ditegakkannya kaki kanan dan Baginda duduk di atas tempat duduk Baginda (tikarnya)".

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Cara yang kedua yang juga diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah duduk iq‘a iaitu dengan punggung didudukkan di atas kedua-dua tapak kaki dan tumit, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: "Abu Zubair mendengar daripada Thawus mengatakan: "Kami bertanya kepada Ibnu ‘Abbas mengenai duduk (dengan cara iq‘a) di atas dua kaki. Ibnu ‘Abbas menjawab: "Itu adalah sunat". Lalu kami berkata kepadanya: "Kami melihat (cara duduk sedemikian) menyusahkan orang tersebut". Ibnu abbas menjawab: "Itulah sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam".

(Hadis riwayat Muslim)

Cara ketiga menurut riwayat daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum ialah dengan duduk di atas dua tumit dan jari kaki, adalah juga termasuk duduk antara dua sujud. (Al-Majmuk: 3/399) Perkara ini disebutkan dalam satu riwayat daripada Az-Zubair yang maksudnya :

"Sesungguhnya dia (Az-Zubair) melihat ‘Abdullah bin ‘Umar apabila sujud, kemudian beliau mengangkat kepalanya daripada sujud yang pertama (lalu) duduk di atas jari-jari kakinya dan beliau berkata: "Sesungguhnya (duduk seperti ini) adalah sunnah".

(Riwayat Al-Baihaqi)

Al-Baihaqi dalam kitab Sunan Al-Kubra (2/464) menjelaskan bahawa duduk iq‘a seumpama ini adalah disunatkan sebagaimana yang diriwayatkan kepada kami daripada Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar Radiallahu ‘anhum. Beliau seterusnya menjelaskan cara duduk tersebut iaitu yang bermaksud :

"(Cara duduk itu) ialah meletakkan jari-jari kaki di atas bumi dan meletakkan punggung di atas dua tumit serta meletakkan lutut di atas bumi"

Menurut An-Nawawi, ulama‘ berselisih pendapat pada hukum duduk dan kaifiyat dalam duduk al-iq‘a. Sebenarnya cara duduk iq‘a itu dua macam:

  1. Meletakkan kedua punggungnya di bumi, menegakkan kedua kakinya dan meletakkan kedua tangannya di atas bumi seperti duduknya seekor anjing. Inilah cara duduk yang dimakruhkan sebagaimana yang dimaksudkan dalam larangan hadis.

  1. Menjadikan kedua punggungnya atas tumitnya ketika melakukan duduk di antara dua sujud. Inilah cara duduk yang disunatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam perkara 2 di atas, Imam As-Syafi‘e menyatakan adalah sunat melakukan duduk Iq‘a ketika duduk antara dua sujud sebagaimana disebutkan dalam kitabnya Al-Buwaithi dan Al-Imla’. Walau bagaimanapun dalam nash (kitab) yang lain, beliau menyatakan duduk yang masyhur dan disunatkan ialah duduk iftirash. Oleh yang demikian, duduk yang afdhal menurut mazhab Syafi‘e ialah dengan cara duduk iftirash sama ada ketika melakukan duduk tasyahhud awwal, duduk antara dua sujud mahupun ketika duduk istirahah (duduk sebelum bangkit bagi raka‘at seterusnya). Manakala duduk ketika tasyahhud akhir sunat dilakukan dengan duduk tawarruk (sebagaimana duduk yang biasa kita buat pada raka‘at terakhir sebelum salam). (Shahih Muslim Syarh An-Nawawi: 2/169-170)

Berdasarkan penjelasan di atas, menurut Imam Syafi‘e sunat duduk iftirash pada kebanyakkan duduk dalam sembahyang, kecuali bagi duduk yang diikuti dengan salam. Menurut beliau juga, duduk di dalam sembahyang itu ada empat iaitu duduk antara dua sujud, duduk tasyahhud awwal, duduk istirahah (duduk sebelum bangkit/berdiri bagi raka‘at seterusnya), dan duduk tasyahhud akhir. Kesemua duduk yang disebutkan tadi sunat dilakukan dengan duduk iftirash kecuali duduk tasyahhud akhir. Begitu juga bagi orang yang masbuq, sunat duduk dengan iftirash. Menurut Imam An-Nawawi, jika dilakukan kesemua duduk dalam sembahyang dan menjadikan kaki-kakinya itu dengan cara duduk iftirash, iq‘a atau tawarruk tidak akan membatalkan sembahyang sekalipun duduk itu berbeza-beza. (Shahih Muslim Syarh An-Nawawi: 2/133-134)

Disunatkan dalam duduk antara dua sujud itu, meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri dengan jari-jari diletakkan sejajar di atas kepala lutut sambil menghadap kiblat. Maka tidaklah mengapa jika jari-jari tersebut melimpasi lutut berkenaan. (Al-Majmu‘: 3/398)

Doa Ketika Duduk Antara Dua Sujud

Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma‘ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang mukmin itu sentiasa berdisiplin, tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya.

Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa:

Maksudnya: "Ya Tuhan! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan."

Doa seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya yang bermaksud :

"Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk antara dua sujud: "Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, berilah aku petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki." Manakala di dalam riwayat Ibnu Majah (ditambah): "Angkatkanlah kedudukanku."

(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain yang bermaksud :

"Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ketika duduk antara dua sujud: "Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, ‘afiatkanlah aku, dan berilah petunjuk serta rezki kepadaku."

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Doa yang pendek dan ringkas ini merupakan hasrat suci dan rangkuman pengharapan seorang hamba terhadap Penciptanya serta rasa bimbang terhadap dosa-dosa yang telah lalu. Apa yang kita pohonkan dalam doa ini agar Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

  • Menjadikan kita seorang manusia yang mencintai jalan kebenaran dan jika kita tersesat atau menyimpang daripada jalan-Nya yang lurus, kita memohon petunjuk agar dikembalikan ke jalan yang benar.

  • Mengurniakan rahmat-Nya yang melimpah ruah kepada kita, iaitu rahmat yang berupa iman yang teguh, ilmu yang bermanfaat, sihat dan sejahtera, kehidupan yang baik dan diredhai-Nya.

  • Menutup serta menggantikan segala kekurangan atau cacat cela diri kita dengan kebaikan.

  • Menjauhkan diri dan keluarga daripada segala mala petaka hidup di dunia dan azab sengsara di Akhirat.

  • Menetapkan hidup di atas jalan agama-Nya yang lurus dan sentiasa membimbing segala tindak-tanduk kita dengan taufik dan hidayat-Nya.

  • Memohon keampunan atas segala kesalahan dan dosa serta berharap kepada-Nya agar tidak membiarkan kita terus bergelumang dengan dosa dan kemahuan nafsu yang jahat.

Apa yang kita ucapkan dalam doa ini bukan sekadar permintaan semata, tetapi merupakan pengisytiharan yang dinyatakan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa itulah matlamat yang hendak kita cari. Ia mesti diikuti dengan usaha-usaha yang gigih, sabar, tekun, yakin, redha dan penuh harapan kepada pertolongan Allah. Dengan cara demikian, barulah Allah akan kabulkan permohonan atau doa itu.

Penutup

Duduk antara dua sujud itu boleh dilakukan sama ada dengan cara duduk iftirash atau iq‘a, malahan tidak membatalkan sembahyang jika dilakukan semua duduk dalam sembahyang sama ada dengan duduk iftirash, tawarruk, atau iq‘a sekalipun berbeza-beza. Walau bagaimanapun duduk iftirash adalah afdhal bagi duduk yang tidak disudahi dengan salam. Manakala duduk tawarruk afdhal dilakukan bagi duduk yang disudahi dengan salam (ketika tahiyyat akhir).

Hendaklah diingat, doa yang pendek ketika duduk antara dua sujud itu selain merupakan isi ibadah, ia juga sebagai pembekal yang melahirkan tenaga penggerak untuk bertindak mengikut lunas-lunas syariat. Ia melahirkan keazaman serta penyerahan yang tulin pada jiwa seorang hamba untuk mencapai apa yang diharapkannya daripada doa itu. Oleh kerana itu hayatilah setiap gerak geri ucapan (doa) dalam sembahyang itu supaya memberi kesan yang baik kepada kemantapan iman.


Posted at 02:55 pm by Syafiqah Haryanie
Comment (1)  

Monday, October 17, 2005
LINDUNGI DIRI DI JALAN RAYA

Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya sentiasa menjaga dan menjamin keselamatan diri dan nyawa, harta dan agama, demikian juga dalam perkara-perkara yang lain. Islam menyuruh umatnya supaya berikhtiar sedaya upaya menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan. Hal ini dijelaskan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya :

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan" (Surah Al-Baqarah: 195)

Antara tragedi yang mendatangkan kebinasaan dan kemusnahan harta serta jiwa itu ialah kemalangan jalan raya.

Kemalangan jalan raya adalah merupakan salah satu faktor yang banyak membunuh manusia selain penyakit-penyakit yang kronik. Bilangannya juga meningkat dari setahun ke setahun. Berbagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa dalam menyelamatkan nyawa manusia dari sebarang kemalangan. Antaranya mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan daripada sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Pemandu-pemandu juga sentiasa diperingatkan agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya termasuk kempen-kempen dan iklan-iklan. Pemandu-pemandu kenderaan dinasihatkan supaya sentiasa mencari langkah dan memastikan keselamatan seperti memakai tali pinggang keledar, memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain supaya pengguna jalan raya benar-benar selamat.

Selain itu, ada juga kita dapati papan-papan tanda yang bertulis kalimah "Allahu Akbar" dan "Subhanallah" terutama di jalan dan kawasan yang dikenalpasti sering terjadi kemalangan yang mengakibatkan kematian dan cedera parah. Papan tanda ini dibuat dengan tujuan mengingatkan pemandu-pemandu supaya sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindunganNya serta berwaspada ketika memandu. Menurut maklumat yang diterima daripada pihak-pihak yang berkenaan usaha seperti ini adalah memberi kesan yang positif ke arah mengurangkan kemalangan di jalan raya.

Ini bermakna pemasangan kalimah-kalimah suci tersebut adalah merupakan satu usaha yang berkebajikan. Bahkan dari natijah yang baik itu, pemasangan papan-papan tanda seperti itu perlu diperluaskan lagi untuk mengingatkan pemandu agar sentiasa berzikir (mengingati Allah) serta berwaspada ketika memandu. Sikap ingat mengingati dan nasihat menasihati itu adalah dituntut oleh Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Qur’an yang tafsirnya :

"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman".

(Surah Al-Zariyat: 55)

Menurut Islam sememangnya kalimah-kalimah suci seperti yang dinyatakan di atas mempunyai fadilat dan berkat dengan mambacanya. Selain berperanan mengingatkan pemandu ia juga merupakan doa dan zikir kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Orang-orang yang membacanya akan beruntung kerana mententeramkan jiwa dan sentiasa mendapat ganjaran dan keampunan daripada Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Berzikir dalam semua keadaan dan tempat itu adalah perkara yang sangat digalakkan oleh Islam, firman Allah yang tafsirnya :

"Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring".

(Surah Al-Nisa‘: 103)

Kalimah-kalimah suci yang dibuat di papan tanda tersebut tidaklah menjadi kesalahan dan harus dibuat sedemikian untuk mengambil berkat daripadanya. Keharusan ini boleh dikaitkan dengan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda dilantik sebagai Rasul, di mana Baginda memperkenalkan Islam kepada orang-orang Arab atau bukan Arab serta mengajak mereka menganutnya, dengan cara mengirim surat kepada raja-raja dan surat-surat tersebut mengandungi kalimah-kalimah dan ayat Al-Qur‘an seperti kalimat Basmalah dan ayat 64 surah Ali Imran.

Keharusan ini juga mestilah mengambil kira tentang kehormatan kalimah-kalimah suci itu daripada tercemar atau apa juga perkara yang boleh menjejaskan kehormatannya seperti terdedah kepada najis-najis burung, atau ia terbiar dengan debu-debu. Kalimah-kalimah suci tersebut hendaknya tidak dipasang pada kayu atau tiang yang tidak kukuh sehingga mudah tumbang atau jatuh dan sebagainya. Kalimah-kalimah suci itu juga memerlukan pengawasan dan pemeliharaan supaya tidak tercemar.

Bagi memenuhi fadilat dan berkat dan mengelakkan dari sebarang kesilapan sebutan atau bacaan, kalimah-kalimah suci itu hendaklah ditulis dengan jelas beserta dengan baris-barisnya sekali.

Selain daripada langkah-langkah fizikal yang dibuat bagi mengelakkan terjadinya kemalangan jalan raya itu, Islam lebih menggantungkan keselamatan diri dan semua perkara kepada kehendak dan kudrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui doa-doa dan zikir-zikir.

Kita perlu memohon perlindungan Allah Subahanhu wa Ta‘ala daripada sebarang bahaya, dan kejahatan sama ada dari manusia, jin dan syaitan pada setiap keadaan. Antara amalan-amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara ini ialah membaca:

- Surah Al-Fatihah

- Surah Al-Ikhlas (3 kali)

- Surah Al-Falaq (3 kali)

- Surah Al-Naas (3 kali)

- Surah Ghafir ayat 1 hingga 3

- Surah Al-Mukminun ayat 97 hingga 98

Sebelum keluar rumah hendaklah dibiasakan membaca:

- Surah Al-Fatihah

- Ayat Al-Kursi

- Surah Al-Quraisy

- Doa ketika keluar rumah:

Maksudnya: Dengan nama Allah aku bertawakkal kepadaNya dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (daya upaya dan kekuatan) Allah, aku berlindung dengan Mu daripada perbuatan sesat atau disesatkan,, atau daripada binasa atau dibinasakan, atau daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan.

Ketika menaiki kenderaan hendaklah dibiasakan membaca doa berikut, iaitu yang tafsirnya :

"Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Allah kami akan kembali".

(Surah Al-Zukhruf; 13-14)

Jika di dalam perjalanan menemui hujan, guruh, angin dan kilat, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita supaya membaca:

a. Ketika hujan turun yang maksudnya :

Ya, Allah jadikanlah ia (hujan) sebagai hujan yang menyenangkan.

b. Ketika mendengar guruh dan petir, membaca yang maksudnya :

"Ya Allah janganlah engkau matikan kami dengan kemurkaanMu dan janganlah engkau binasakan kami dengan azabMu dan ampunkanlah kami sebelum itu".

c. Semasa angin bertiup kencang, membaca yang maksudnya :

"Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang ada engkau utuskan bersertanya, aku memohon perlindunganMu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan yang engkau utuskan bersertanya"

Mudah-mudahan dengan membaca ayat-ayat, doa-doa dan mengamalkan zikir-zikir tersebut, kita semua mendapat berkat dan terhindar daripada sebarang malapetaka ketika berada dalam perjalanan.


Posted at 02:04 pm by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

Tuesday, September 13, 2005
Kesah Lima Perkara Aneh


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.


Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."


Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."


Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan kemulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.


Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut turut.


Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.


Ketika dia sedang berjalan, tiba tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."


Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan kedalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."


Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.


Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintahMu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."


Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."


Saudara saudaraku...kelima lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."


Maka berkata Allah S. W. T., "Ini adalah pahala orang yang mengata mengata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang.


Posted at 12:37 pm by Syafiqah Haryanie
Make a comment  

Manisnya Agamaku...


Islam adalah agama yang adil:


Yang bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

(Surah An-Nisa', Ayat: 135)



Yang bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

(Surah Al-Maaidah, Ayat: 8)



Yang bermaksud:Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian dia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya dia telah memikul kesalahan berbuat dusta dan melakukan dosa yang amat nyata.

(Surah An-Nisaa', Ayat: 112)



Yang bermaksud:Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

(Surah An-Nahl, Ayat: 90)



Yang bermaksud:Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

(Surah An-Nahl, Ayat: 126)



Yang bermaksud:61- Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah Al-Anfaal, Ayat: 61)



Yang bermaksud:Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.

(Surah Al-Kahfi, Ayat: 29)



Yang bermaksud:Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

(Surah Al-Kaafiruun, Ayat: 6)

Posted at 08:59 am by Syafiqah Haryanie
Comment (1)  

Next Page









Anjung Singgahan


Embunpagi

Teman

Senja

Krisman

Makngah

UtusanRasull

Salsabil

Sahabat

Neraca

Harath

   

<< January 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31








" DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI "..









Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya ALLAH yang menciptakan langit dan bumi ...? ( Surah Ibrahim : 10)








"Katakanlah (wahai Muhammad) : Kalau ada dibumi malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka dari langit malaikat yang menjadi rasul." ( Surah al-Isra':95)









"Demi sesungguhnya , Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata. Dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadikan neraca keadilan supaya manusia dapat menjalankan keadilan." ( Surah al-Hadid : 25)








Dunia bagai pentas permainan yang punya glittering yang mengasyikkan bagi mereka yang lupa akan kebinasaannya.









Dari Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda : " Sesungguhnya ALLAH memaafkan bagiku daripada umatku segala perbuatan dari kesilapan dan kelupaan dan segala yang dipaksa keatas diri mereka."










Hidup hanya sementara... manisnya hanya sekejap, pahitnya sepanjang usia. .. melainkan bagi mereka yang berwaspada dan berbaik sangka



















"Tidakkah Allah yang menciptakan sekelian makhluk? Sedangkan Dia Maha Halus urusan tadbiranNYA lagi maha dalam pengetahuanNYA ( Surah al-Mulk :14)








"Gadis sopan penyejuk mata"...Norzie ...









Manis dan ayu ..bakal permaisuri Brunei ~~Pengiran Anak Sarah









Impian Tentang damai
~~~~~~~~~~~~~~
Bagaikan titis
embun murni
di ujung dan kelopak
daun
dan
labah labah yang meregang
jaringnya ~~ bening

Segala kekecohan
duniawi
telah bening dan sepi
begitulah
sebuah impian
tentang damai

Bagaikan titis-titis
embun murni
itulah damai
meresapi diri
dan
hati

panchor ~~ mac 1981.









Image hosted by Photobucket.com









Image hosted by Photobucket.com






Image hosted by Photobucket.com






If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed